Padah Halang Laluan, Tiga Pengiring VIP Ditahan

Tiga pemandu orang kenamaan (VIP) ditahan kerana menghalang kenderaan sehingga menyebabkan keadaan trafik sesak di Lebuhraya Connaught di sini, semalam.

Ketua Polis Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Nazri Hussain berkata, ketiga-tiga pemandu yang berusia antara 27 dan 35 tahun itu ditahan oleh pasukan polis yang membuat rondaan di Plaza Tol Lama menghala ke Petaling Jaya pada pukul 1.15 tengah hari 22 Mei yang lalu.

Beliau berkata, salah seorang pemandu terbabit yang berusia 31 tahun memandu kereta jenis Bentley ditahan kerana gagal mengemukakan lesen senjata api selepas polis menemui sepucuk pistol jenis Beretta beserta 10 butir peluru yang diselitkan pada bahagian pinggangnya.


“Mereka bertindak menghalang pemandu kenderaan lain supaya memberikan laluan kepada dua buah kereta majikan mereka bersama sebuah kereta jenis Proton Inspira yang mengiringi kereta terbabit dengan dilengkapi lampu arah berwarna biru dan memasang bunyi siren,” katanya dalam kenyataan.

Nazri berkata hasil pemeriksaan mendapati kereta jenis BMW, Proton Inspira, dan Bentley, yang membawa empat penumpang terdiri daripada ahli perniagaan bergelar Datuk Seri itu, bukan didaftarkan sebagai kenderaan milik kerajaan.

Menurutnya, ketiga-tiga kenderaan itu dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut manakala kesemua penumpang terbabit dibebaskan.

Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam.

Sumber: Bernama

0 comment... add one now

HimpunanCeritaLawak tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri