“Kalau orang yang naik teksi dia tak cukup duit, dia tak berkira sangat, dia menderma. Contoh kalau tambang teksi RM25, dia bagi diskaun RM5.
“Dia beritahu kalau kalau 20 orang naik teksinya dalam sehari, seorang tambang RM25, sebanyak RM5 daripada tambang itu dia sedekah.
“Jadi dalam sehari dia sedekah RM100,” kata penceramah bebas Ustaz Hanafiah Abdul Malek menceritakan mengenai pelawak Allahyarham Mr Os atau nama sebenarnya Mohd Yusof Abdul Hamid, 55.
Mr Os kembali ke rahmatullah pada jam 2.45 petang tadi di Hospital Selayang akibat kanser paru-paru.
Menurut Hafiah, dua minggu lalu, Mr Os pernah berbisik kepadanya menyatakan mahu mati syahid pada satu forum dakwah di Gerik, Perak.
“Ustaz, saya nak mati syahid, saya nak mati ketika berdakwah. Saya mahu bantu Zakat Perak sedaya upaya supaya lebih ramai bayar zakat," bisik pelawak itu kepada Hanafiah pada Jumaat, 25 Mac lalu.
Genap dua minggu selepas menyatakan hasratnya itu, Mr Os meninggal dunia dan jenazahnya disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Permata Taman Seri Gombak sebelum Maghrib tadi.
“Ada hadis yang mungkin sesuai menceritakan mengenai Allahyarham iaitu 'Sesiapa yang meringankan beban saudaranya, maka Allah SWT akan meringankan bebanannya di akhirat nanti.’ Wallahualam,” kata Hanafiah yang dihubungi hari ini.
Allahyarham dilantik sebagai Duta Zakat Negeri Perak pada Disember tahun lalu, dan itulah kali pertama mereka berkongsi pentas forum dan itulah juga kali pertama Allahyarham berdakwah.
“Pada 25 Mac, saya berjumpa dan berkongsi pentas buat kali kedua dengan Allahyarham di Masjid Grik, Perak. Saya lihat Allahyarham terlalu kurus dan kelihatan tidak sihat.
“Saya tanya kali pertama dia tidak jawab, kedua pun tidak. Kali ketiga, ketika ahli panel lain membuat ulasan, barulah Allahyarham beritahu dia menghidap kanser tiroid yang merebak ke paru-paru.
“Ketika itu dia pegang bahu saya dan bisik kepada saya, ‘Ustaz, saya kalau boleh sakit macam mana pun saya nak juga datang berdakwah. Harapan saya nak mati syahid ketika berdakwah.'
“Saya jadi sebak, nak menangis dan peluk dia. Hilang 'mood' untuk menjadi moderator dan saya tertunduk.
“Saya beritahu dia sepatutnya berehat kerana khidmat dia untuk berdakwah masih diperlukan. Apatah lagi selepas tiga hari menjalani kimoterapi namun dia tidak mahu dan nak teruskan berdakwah,” kata Hanafiah.
Menurutnya, Mr Os beritahu sepanjang dia sakit, sudah 22 kali menjalani rawatan kimoterapi.
“Allahyarham juga sanggup terima undangan berceramah walaupun bayaran tidak sebanyak seperti undangan melawak dan mengacara. Dia tidak kisah mengenai bayaran,” katanya.
Menurutnya, Mr Os tidak menyatakan mahu meninggalkan dunia seni malah akan meneruskannya seperti rancangan Oh! My English kerana ada mesej.
Sumber: Hmetro
HimpunanCeritaLawak tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri