'Dok Australia Bertahun-Tahun, Takkan Cakap English Masih Slanga Melayu?'


Saya anak kampung, berasal dan tinggal di sebuah kampung kecil dekat Pantai Cahaya Bulan (PCB) di Kota Bharu, Kelantan. Namun berkat usaha gigih dan jasa ibu bapa dan guru-guru, selalu baca buku Bahasa Inggeris, banyak menulis ejaan, selalu bawa Oxford dictionary dwibahasa kecil ke mana-mana sahaja (pergi rumah nenek pun bawa dictionary sebab nak pandai Bahasa Inggeris punya pasal), cuba bercakap Inggeris walaupun bercakap seorang diri depan cermin, macam-macam saya buat, dan akhirnya saya selalu cemerlang dalam subjek Bahasa Inggeris tidak kira penulisan atau lisan. 

Saya membesar dengan memenangi pelbagai pertandingan melibatkan Bahasa Inggeris pada pelbagai peringkat termasuklah antarabangsa, akhirnya melanjutkan pelajaran ke Australia (tajaan biasiswa penuh) yang menggunakan Bahasa Inggeris 100% dari Ijazah hinggalah ke PhD, saya pernah tinggal di Australia hampir 9 tahun dan terlibat secara langsung dengan masyarakat Australia semasa berusia 19 hingga 27 tahun. Saya pernah mendapat markah tertinggi iaitu 39 markah pada peperiksaan lisan di universiti Australia (markah penuh ialah 40 markah) dan nak dijadikan cerita, markah kedua tertinggi pada peperiksaan itu ialah 32 markah. Rata-rata pelajar dalam kursus tersebut adalah para pelajar Inggeris, dari Australia, UK, USA, Canada dan pelbagai lagi. Saya masih ingat hari itu saya memakai baju Melayu (seluar slack hitam) kerana hari itu hari Jumaat. Tapi budak Melayu kampung inilah yang jadi top scorer. Semasa Majlis Konvokesyen PhD pada September 2015 juga saya telah diberikan peluang memberi ucapan dalam Bahasa Inggeris mewakili semua graduan kerana pengiktirafan sebagai pembawa cokmar sekaligus pelajar cemerlang mewakili 4 fakulti di The University of Adelaide, Australia (boleh beli dan baca buku saya bertajuk "Hikayat Budak PhD" whatsapp 0137065332/0137065334 atau penerbi http://www.kopipress.com/product/hikayat-budak-phd/)

Orang yang kenal saya akan tahu saya boleh bertutur dalam Bahasa Inggeris, menggunakan slanga BIASA seperti orang Melayu yang lain, tiada lenggok seperti orang putih. Slanga-slanga saya letak tepi. 

Ada jugalah yang bertanya, boleh jadi menyindir, "Eh, dok Australia bertahun-tahun sebegitu takkan tak boleh cakap English gaya slanga Australia atau orang putih?"
Saya jawab, "Tak perlu pun" sambil senyum.

Selain itu ada juga yang mengomel, "Gaya kau tak berubah pun, kan? Dulu sebelum ke Australia pakai baju Melayu. Sekarang dah balik, sama je. Siap pakai jubah macam orang balik dari Mesir. Aku ingatkan kau pakailah macam gaya hipster ke, apa ke. Barulah nampak gaya orang putih sikit!" Menarik betul cadangannya untuk saya mengubah fesyen berpakaian. 
Saya jawab, "Pakai je la apa pun, asalkan elok dan menjaga aurat." Heheh, kan dah terkena.

Nak tahu kenapa saya tak pernah nak bercakap slanga orang Inggeris, atau slanga orang Australia? Nak tahu kenapa saya tak ikut gaya hidup sosial orang Australia, terutamanya dari segi pengurusan pakaian dan lain-lain?

Ringkas sahaja. 

Saya belajar, menulis, bercakap dan pelbagai aktiviti menggunakan Bahasa Inggeris adalah bertujuan untuk kehidupan. Contohnya mencari ilmu, meningkatkan kualiti diri, memudahkan komunikasi. TIDAK bertujuan untuk MENJADI orang Inggeris atau orang putih. Apatah lagi nak menceduk budaya sosial mereka ke dalam hidup saya.

Saya kekal dengan identiti Melayu Muslim saya, sejak awal pergi ke Australia, sehinggalah kini (sejak setahun yang lalu) pulang berkhidmat mendidik para penuntut universiti di Malaysia.

Apa yang saya nak cuba sampaikan dalam post ini?

Hidup kita perlulah ada prinsip dan jati diri. Kita yang lahir sebagai Melayu dan Muslim ini perlu bersyukur dan menghargai ketetapan yang Allah swt berikan ini. Perlu sedar diri dalam aspek ini. Prinsip dan jati dirilah yang akan menjadi tunjang dalam kehidupan kita. Anak-anak muda terutamanya, jangan mudah terpengaruh dengan keadaan sekeliling. Jangan terikut-ikut dengan anasir-anasir di kiri, kanan, depan dan belakang kita. Jangan ubah diri kita mengikut cara mereka tanpa ada keperluan yang jelas.

Nak berjaya cemerlang dengan pengajian menggunakan Bahasa Inggeris atau nak berjaya cemerlang di negara orang putih TIDAK memerlukan kita menukar gaya cakap kita sehingga menjadi orang putih dan berpakaian seperti mereka. Wanita muslimah kekalkanlah tudung di kepala, lelaki muslim kekalkanlah pakaian sopan. Bercakaplah seperti biasa, tak perlu risau nak bercakap slanga orang putih. Sebab kita bukan orang putih. Betul, tak?

Kekalkanlah jati diri Muslim, kekalkanlah jati diri Melayu. Jangan malu, jangan segan, jangan rasa inferior atau rendah diri. 

Ikut pengalaman saya, kita tidak disanjung oleh orang putih disebabkan slanga kita yang semacam slanga percakapan mereka atau disebabkan pakaian kita yang menyerupai mereka. Tetapi mereka lebih respek apabila kita mampu menyinar di 'pentas' dengan Bahasa Inggeris slang gaya kita kerana mereka lebih respek disebabkan English is our second language but still we manage to speak in a fluent and understandable manner, dan menonjolkan ciri-ciri sikap dan pakaian unik daripada bangsa kita. Contohnya, "Wow! Your baju Melayu is so beautiful."

Sekali kita jadi Muslim, berbanggalah dengannya dan carry the title. Jangan sorok-sorok, jangan malu-malu. Selepas itu nak cakap slanga Inggeris gaya negara mana sekalipun, cakaplah. Asalkan jati diri kekal, bukan sampai warnakan rambut hitam kita dengan warna merah macam termandi dengan air karat. Kalau boleh speaking slang orang putih, tu kira bonus ye. Jangan lebih sudu daripada kuah.

Kita belajar Bahasa Inggeris bukan untuk jadi orang Inggeris. Biaq pi la depa. Heheh.

Foto hiasan: Foto Majlis Konvokesyen September 2011 untuk graduasi Disember 2010 di The University of Adelaide, Australia. Bersama dua supervisors saya, alhamdulillah dapat First Class Honours masa ni.. CGPA 7.00/7.00 smile emoticon Masa ini, puteri pertama kami berusia 2 bulan smile emoticon

Buku motivasi "Hikayat Budak PhD" boleh dibeli melalui whatsapp 0137065332/0137065334 atau kunjungi booth Kopi Press (Booth A3703, Hall A) di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) yang sedang berlangsung di MAEPS, Serdang SEKARANG (harga lebih murah daripada biasa, for sure).

0 comment... add one now

HimpunanCeritaLawak tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri