Kalau mampu beli rumah sekarang, kenapa perlu nak tangguh, kan? Yang masalahnya ialah kebanyakan kita bukan tak mampu, tapi tak tahu.
Pelik sangat bila ramai anak muda boleh beli kereta mahal-mahal yang berharga lebih daripada gaji tahunan, tapi masih belum memiliki rumah.
Okay. Saya faham, kereta adalah keperluan bagi kebanyakan kita. Tapi untuk lebih jelas, kereta mahal adalah kehendak, bukan keperluan.
Kereta keperluan, harganya mestilah tak lebih daripada gaji tahunan kita. Jika kita bergaji RM2,500 harga kereta kita mestilah tak lebih daripada RM2,500 x 12 = RM30,000.
Lebih murah, adalah lebih bagus sebenarnya.
Lagi menyedihkan adalah kalau kita beli kereta mahal, tapi kita pergi kerja naik LRT saja. Sedih sangat sebab bayar kereta untuk sebulan, tapi pakai hujung minggu saja.
Cuba tengok trend kereta anak muda sekarang mengikut range gaji. Kalau gaji RM1,000-2,000 biasanya akan pakai kereta Myvi SE atau Advance. Kalau gaji RM2,000-3,000 pula, teringin pakai City atau Vios.
TAK MAMPU BELI RUMAH?
➖➖➖➖➖➖
Ironinya, beli kereta mahal mampu pula. Tanamkan dalam fikiran anda, dengan gaji kerja pertama anda tu, kalau anda beli kereta mahal dulu, susah nak beli rumah nanti.
Tapi kalau anda beli rumah dulu, mudah saja nak beli kereta nanti. Benda ni sangat subjektif, belajar cara kira Debt Service Ratio (DSR), anda akan lebih faham.
Saya bagi contoh anak muda bergaji RM2,500 lah ya. Kalau tak sama dengan gaji anda, pandai-pandailah ubah angka tu.
DSR adalah nisbah hutang yang dibenarkan oleh pihak bank untuk kita. Dengan gaji RM2,500 tu, secara umum bank boleh bagi maksimum 50% untuk mohon pembiayaan perumahan. Lain bank, lain cara kira DSR.
RM2,500 x 50% = RM1250 komitmen bulanan yang dibenarkan oleh pihak bank untuk meluluskan pembiayaan perumahan.
BELI KERETA DAHULU.
➖➖➖➖➖➖
Gaji Bersih: RM2500
Komitmen Kereta: RM800
Baki komitmen bulanan yang dibenarkan oleh pihak bank adalah,
RM1250 - RM800 = RM450
Dengan RM450, bank boleh bagi pembiayaan perumahan sebanyak RM90,000 sahaja. Bolehlah dapat rumah flat busuk dengan harga macam tu.
Langsung takda kelas. Kereta City, duduk flat. Biasanya, mereka takkan beli flat tu sebab tak menepati ciri-ciri rumah idaman. Haha.
BELI RUMAH DAHULU.
➖➖➖➖➖➖
Gaji Bersih: RM2,500
Komitmen Rumah 1: RM800
Pendapatan Sewa Rumah 1: RM1,000
Komitmem Rumah 2: RM800
Pendapatan Sewa Rumah 2: RM1,300
Bank boleh bagi maksimum komitmen RM1,250 kan? Kalau komitmen rumah RM800 sebulan, senang saja bank nak luluskan.
Rumah ada 3 bilik. Kita duduk di bilik yang paling kecil. Bilik medium dan master disewakan per kepala. Letakkan perabot dan internet juga. Pasti laku keras.
Bilik medium masukkan 2 orang, manakala bilik master 3 orang. Setiap seorang bayar RM200. Dapat RM1,000 kan? RM200 x 5 = RM1,000.
Dapat duduk bilik percuma wei. Tak payah cari bilik sewa dah. Aliran tunai daripada rumah pertama adalah RM200 setiap bulan. Sewakan selama 6 bulan supaya pendapatan sewaan tu boleh dibuktikan kepada bank.
Beli rumah kedua dengan pembiayaan RM800 juga. Kali ini, anda akan dapat aliran tunai sebanyak RM500 pula.
Rumah kedua, bilik ada 3. Bilik master 3 orang, bilik medium 2 orang dengan bayaran RM200 seorang. Bilik kecil disewakan RM300 untuk seorang duduk.
(RM200 x 5) + RM300 = RM1,300
Jangan lupa letak perabut dan internet sekali ya. Internet adalah keperluan asas. Kalau takda internet, macam mana nak baca gosip artis dan page Amran Fans.
Secara kasar, aliran tunai sewaan kedua-dua rumah anda adalah (RM1,300 + RM1,000) - (RM800 + RM800) = RM700. Dengan RM700 boleh dapat kereta apa ya?
Masuklah showroom Honda dan Toyota lalu belilah kereta yang akan dibayar oleh penyewa rumah anda. Kapitalis? Bukan, anda bukan kapitalis, tapi anda bijak.
DAH RASA MAMPU BELI RUMAH?
➖➖➖➖➖➖
Sebelum kena kecam dengan orang-orang negatif, saya nak sebut siap-siap yang posting saya ni memang tak lengkap. Tak cerita cara nak dapatkan deposit, beli rumah dengan modal minima, cara pilih rumah yang sesuai, risiko pelaburan hartanah dan lain-lain.
Orang yang negatif akan cari salah orang, orang yang berinisiatif akan tekan Follow dan baca posting-posting saya yang terdahulu. Itupun kalau rajinlah.
Jadi, dah rasa lebih yakin nak beli rumah? Bila dah tahu, mesti rasa mampu kan? Harapnya macam tu lah ya. Kalau tak, rasa macam sia-sia saja saya menaip panjang-panjang di pagi Ahad ni. Dahlah jarang orang nak SHARE info-info macam ni. Haha. - HF
HimpunanCeritaLawak tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri