Apa rakyat USA fikir tentang Malaysia setiap kali saya bertemu dan bercakap dengan mereka dan mereka tahu yang saya dari Malaysia?
Disebabkan saya sudah jelajah ke hampir semua 50 negeri di USA dengan terperinci selama 2 tahun, yang berikut ialah pendapat dari kebanyakan mereka yang saya temui di setiap negeri:
1. Kebanyakan mereka tahu tentang Malaysia dari tragedi MH370 dan MH17. Dengan penuh simpati dan empati, mereka akan selalu berpesan jangan bersedih, dan kapal akan pasti jumpa lambat laun. Namun, ada juga antara mereka yang takut dan tak mahu terbang langsung gara-gara kehilangan kapal itu.
2. Mereka tahu yang Malaysia juga penuh kepelbagaian kaum, sama seperti USA, dan lebih kurang sama harmonis cuma taraf hidup yang bukan kulit putih(seperti kulit hitam dan Hispanik) kelihatan susah ialah ketara, dan oleh itu juga yang bukan kulit putih lebih banyak dipenjara. Setiap kes sentimen perkauman dan warna kulit yang berlaku di sini walaupun tidak banyak, ia agak ekstrim jika nak dibandingkan dengan Malaysia(contohnya kes Low Yat itu). Di sini sampai keluar senjata api! Tapi jangan risau, rakyatnya di sini bukanlah berjalan menayangkan pistol dan sebagainya. Yang di media sudah tentu yang buruk saja dipaparkan. Dengan ini mereka akui yang Malaysia merupakan negara yang mana negaranya masih tenteram dan rakyatnya tahu bertoleransi antara satu sama lain!
3. Kebanyakan mereka tidak tahu akan kedudukan geografik Malaysia, tetapi mereka tahu Singapura di mana, dan tahu bahawasanya Borneo itu wujud tapi tak tahu yang ianya terbahagi antara 3 negara. Jadi setiap kali mereka tanya saya dari mana, saya akan lukis peta di angin! Saya tak salahkan mereka, agak susah untuk kebanyakan mereka tahu kerana kebanyakan mereka tak pernah keluar dari USA untuk travel. Jadi mereka tahu yang rakyat Malaysia ini "well traveled" serta bijak dalam banyak hal!
4. Kebanyakan yang terpelajar berkata mereka pernah ke Malaysia, dan cuma ke antara KL, Melaka atau Pulau Pinang. Mereka kata "It's a beautiful country with beautiful people!" Ya, mereka suka makanan kita, terutamanya char kuey tiaw dan nasi lemak! Bukan tipikal, nasi lemak di Malaysia memang terbaik. Mereka selalu tanya saya pandai tak saya masak semua makanan itu, saya jawab "kecuali tebar roti canai.". Saya dah pun banyak kali masak makanan Malaysia untuk teman-teman di sini, dan saya berjaya buat mereka nak ke Malaysia hanya sebab makanan kita!
5. 5 orang dari 10 orang di sini mahu ke Malaysia dan melihat bahagian lain terutamanya Sabah dan Sarawak. Tapi mereka TAK pernah anggap orang Sabah dan Sarawak atau orang Borneo(kecuali Brunei) masih tinggal di atas pokok. Agak lucu sebab kita pernah baca kenyataan seperti ini dibuat oleh rakyat Malaysia sendiri.
6. Kebanyakan mereka tahu Malaysia merupakan sebuah negara dominan Islam, tapi menyebut yang untuk pelancong barat, Malaysia masih mesra pelancong jika hendak dibandingkan dengan negara-negara Timur Tengah dan Asia Tenggara yang lain. Juga, mereka punyai ramai sahabat Muslim di sini. Mereka tak terus kata Muslim itu "terrorist". Islamofobik di US ini tidak seteruk yang anda sangka!
7. Mereka tahu yang wanita-wanita Malaysia adalah antara yang tercantik dari Asia mereka pernah lihat. Sahabat suami ada juga yang ipar duai mereka berkahwin dengan rakyat Malaysia. Cuma mereka kurang terdedah dengan bangsa Melayu. Thanks to Yuna and Zee Avi, they now know a little bit about Malays!
8. Jujur, mereka tak ambil berat tentang keadaan(politik)di Malaysia. Negara USA yang besar ini "already has a lot on the plate" untuk fikirkan atau mengulas berita tentang Malaysia atau negara lain, kecuali mengenai Afghanistan, Palestin, Israel, Rusia dan China. Namun, satu perkara yang pasti sejak 2 tahun lepas yang mereka betul ambil berat tentang Malaysia ialah MH370 dan ketidakadilan mangsa dan keluarga mangsa MH17. Dalam erti kata lain, Malaysia lebih terkenal oleh kerana 2 kejadian ini, dan bukan kerana pergolakan negara yang sedang Malaysia alami sekarang.
9. Oleh kerana saya di sini, mereka teruja untuk bertemu rakyat Malaysia yang lainnya. Mereka kata, sopannya dan pandainya kamu berbahasa Inggeris, dan saya kata kebanyakan rakyat Malaysia boleh bercakap lebih dari 1, 2 atau lebih bahasa. Itu sudah cukup untuk buat mereka kagum. Menurut mereka, Alhamdulillah saya juga ialah "righteous ambassador" untuk rakyat Malaysia di USA. Saya buat mereka faham bahawa orang di timur memang menjaga adab ketimuran, dan kita dibesarkan dengan nilai-nilai itu juga.
Jadi sebelum anda kata saya ini suka memburukkan Malaysia di negara orang, simpan sajalah kata-kata nista itu dalam hati. Kalaupun saya ada keluhan tentang orang kita, saya pasti lebih banyak memuji orang kita di hadapan orang di USA ini, kerana busuk dan buruk manapun, Malaysia ialah tanah tumpah darah saya.
Disebabkan sekarang saya tinggal di USA, saya juga perlu belajar menyayangi negara kelahiran suami saya ini. Jangan pernah anggap saya lupakan asal usul saya hanya kerana saya menetap di sini. Kalau saya lupa, masakan saya tahu menulis dalam bahasa ibunda, tak begitu? Setiap negara ada baik dan buruknya. Mana-mana kita tinggal pun dalam dunia ini, kita takkan dapat lari dari yang buruk, tapi kita boleh sentiasa cari keindahan dalam keburukan, juga yang positif dalam yang negatif.
Change your perspective, and you'll see things even better.
Gambar: Bendera USA dan haiwan kebangsaan mereka, Bald eagle.
HimpunanCeritaLawak tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri