Alhamdulillah, saya syukur sangat kerana telah diberikan peluang menyambung pelajaran dalam jurusan Philosophy di luar negara. Tahun ini adalah Ramadhan pertama saya sejak menjejakkan kaki di bumi Rusia pada September tahun lalu. Berpuasa di benua terbesar dunia ini sedikit mencabar bagi saya kerana tempoh berpuasa selama 19 jam di sini. Pengalaman baru ini membuatkan saya begitu teruja untuk merasai berpuasa di negara orang. Perasaan saya bercampur risau kerana pertama kali sambut bulan Ramadhan jauh dari keluarga.
Sangat mencabar berpuasa di sini kerana segalanya bergantung diri sendiri dan memerlukan disiplin hidup memandangkan kehidupan di sini sangat mencabar keimanan kerana keadaan di sini jauh beza dengan Malaysia. Berpuasa di sini lebih lama kerana perbezaan waktu antara Malaysia dan Moscow kira-kira tujuh jam. Jadi, waktu siang akan lebih panjang iaitu kira-kira 17 hingga 20 jam pada musim panas. Waktu berpuasa di Moscow adalah lebih kurang jam 3:00 pagi hingga 9:30 malam. Jadi berpuasa di sini adalah sekitar 19 jam.
Ramai rakan saya di sini yang bertanyakan kepada saya, “kenapa orang Muslim kena berpuasa?” dan “boleh ke tahan tidak makan minum selama satu hari?” Ada seorang rakan saya dari sini yang turut mencuba berpuasa bersama saya tapi hanya bertahan setengah hari sahaja kerana tidak mampu nak teruskan. Tahun ini saya berpuasa tanpa keluarga dan perlu masak sendiri hari-hari. Nasib saya ni pandai memasak, jadi tiada masalah dalam bab memasak. Saya kena masak sebelum jam 9:00 malam kerana waktu berbuka lebih kurang jam 9:30 malam di sini.
Sebelum saya berangkat ke sini, emak saya ada bekalkan beberapa paket makanan segera dan perencah, itu lebih memudahkan saya untuk memasak. Kalau saya malas nak masak, saya akan pergi ke rumah rakan Muslim saya untuk berbuka puasa bersama. Sedih juga berpuasa sendiri di tempat orang kerana segalanya perlu dilakukan sendiri. Saya akan gunakan pengalaman berpuasa selama 19 jam ini sebaik-baiknya dan anggap sebagai cabaran untuk saya.
Di sini, penduduk tempatan tidak mengetahui mengenai bulan Ramadhan. Jadi, di mana-mana sahaja saya boleh menghidu aroma roti dan kopi. Berpuasa pada saat orang sekeliling tidak berpuasa sangat mencabar kerana di merata tempat kita dapat melihat orang makan sehinggakan kita sendiri terliur. Saya mengaku agak terkejut ketika pertama kali berpuasa di sini. Keadaan sekeliling yang sangat kering menyebabkan tekak mudah berasa dahaga dan lapar. Jelas sekali saya terlalu rindu masakan emak dan tarawih bersama keluarga.
Bersyukur saya tidak menetap di St. Petersburg, Rusia kerana dikatakan penduduk Muslim di sana harus berpuasa selama 22 jam setiap hari. Sepanjang bulan Ramadhan ini, matahari di St Petersburg hanya tenggelam lebih kurang dua jam sahaja. Penduduk di sana memanggil bulan ini sebagai “White Night” atau malam yang terang kerana matahari akan terus bersinar selama 22 jam.
Cuaca di sini agak sejuk walaupun pada musim panas, kira-kira 15-19 darjah Celsius sahaja. Jadi saya kurang berasa haus. Cuma pada bulan Ramadhan ini, saya kerap naik pengangkutan awam bagi mengelakkan mengguna tenaga berlebihan kerana kebiasaannya saya hanya berjalan kaki untuk ke kuliah dan membeli barang. Memang mahal naik pengangkutan awam di sini tapi demi mengelakkan mengguna tenaga berlebihan, saya terpaksa juga berkorban.
Tiada azan di sini. Jadi pandai-pandailah ingatkan diri sendiri setiap waktu solat. Tempoh berpuasa yang panjang pada siang hari dan pendek di waktu malam sedikit sebanyak menyukarkan saya dan rakan-rakan untuk menunaikan solat tarawih. Dalam tempoh lebih kurang tiga jam itu kami berbuka, solat maghrib, solat isyak dan bersahur. Semuanya kami lakukan dengan tergesa-gesa kerana jarak waktu solat maghrib dan Isyak begitu dekat. Disebabkan bilangan penganut Islam di sini begitu ramai, cabaran dari segi makanan dan tempat untuk bersolat tidak begitu sukar.
Disebabkan waktu siang lebih panjang pada bulan ini, masa saya banyak dihabiskan di perpustakaan dan kuliah. Saya juga kena peka dengan aplikasi telefon bimbit yang lazimnya menunjukkan waktu berbuka dan bersahur secara tepat. Jika di Malaysia, apabila jam menunjukkan angka 7:15 malam, semua ahli keluarga sudah duduk memenuhi meja makan sementara menunggu azan berkumandang di corong radio.
Segalanya berbeza di sini kerana kami hanya bersandarkan kepada jadual waktu solat yang diedarkan kepada warga Muslim dan aplikasi telefon bimbit sebagai panduan untuk berbuka dan bersahur. Perkara tersebut digunakan bagi mengelakkan daripada terlepas waktu sahur yang terlampau singkat berbanding di Malaysia.
Berpuasa 10 jam atau 20 jam, dugaan dan nikmat berpuasa itu berbeza-beza. Walaupun saya berpuasa 20 jam, saya tahu Allah SWT itu Maha Adil dan Penyayang. Dia bagi suhu sejuk, malam yang pendek untuk berjaga malam dan mengajar kita untuk lebih mensyukuri nikmat-Nya. Kita ada pilihan sama ada untuk buat atau tidak.
Walaupun ini pengalaman terbaru saya di negara orang, kemeriahan bulan Ramadhan di Malaysia tetap saya rindu terutama juadah berbuka, sanak-saudara dan juga suasana menunaikan solat tarawih di masjid.
Sumber 1malaysia
HimpunanCeritaLawak tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri