Artikel ini adalah hasil perkongsian Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan, anda boleh hubungi beliau melalui laman Facebook
Sekitar tahun 1880, seorang gadis ditemui lemas di Sungai Seine, sebuah sungai yang merentasi kota Paris. Bagi tujuan pengecaman, mayat gadis ini dipamerkan di sebuah rumah mayat, dengan harapan ada orang awan yang boleh mengecam mayat tersebut. Malangnya, tiada siapa tampil untuk mengenal pasti identiti gadis berkenaan.
Kisah gadis yang disyaki membunuh diri ini tidak berakhir di situ.
Gadis misteri ini, meskipun mati lemas, wajahnya yang tersenyum damai, seakan-akan wajah seseorang yang sedang lena diulit mimpi indah telah menawan hati orang ramai. Lantaran itu, acuan plaster wajah wanita rupawan ini telah dibuat.
Menjelang awal abad ke-20, arca patung berdasarkan muka gadis yang mempersonakan ini telah menghiasi ruang-ruang galeri seni terkemuka di kota Paris, bahkan menjadi ia menjadi satu fenomena di kota-kota eropah yang lain.
Wajah gadis misteri yang berjaya memukau warga Eropah ini, telah diberi nama Inconnue de la Seine. Ada juga yang memberi jolokan “Mona Lisa Lemas”, mungkin kerana aura senyumannya setanding senyuman Mona Lisa — lukisan artis Renaissance; Leonardo da Vinci.
Inconnue juga tidak terlepas daripada menjadi subjek sastera; sajak, gurindam, novel, dan sebagainya. Karya-karya ini menyentuh tentang keanggunan, asal usul dan kisah disebalik kematiannya.
Setelah menghantui di tamadun seni Eropah selama 50 tahun, enigma gadis misteri ini telah menyelinap ke lapangan yang lebih luas.
Pada tahun 1955, seorang lelaki bernama Asmund Laerdal, telah menjumpai anak kesayangannya terapung tak bernyawa di dalam air. Pantang maut sebelum ajal. Walaupun ketika itu teknik resusitasi kardipulmonari(CPR) belum wujud, anaknya itu berjaya diselamatkan.
3 tahun selepas kejadian itu, barulah teknik CPR tercipta. Dr. Peter Safar, seorang pakar anestesiologi telah menformulasi cara untuk menyelamatkan pesakit yang terhenti jantung dan pernafasan, tetapi beliau memerlukan patung yang direka khas bagi tujuan latihan dan penyebaran teknik tersebut.
Melalui seorang rakan, beliau telah diperkenalkan kepada perusahaan pembuat permainan yang terkenal— Laerdal. Seperti orang haus diberikan air, pengasas syarikat tersebut yang masih terkesan dengan tragedi yang menimpa anaknya, semestinya bersetuju untuk bekerjasama dengan Dr. Safar.
“Divine intervention” kata orang putih.
Dalam pembikinan patung ini, Dr. Safar dan Laerdal sangat teliti dalam aspek teknikalnya. Ia mempunyai salur pernafasan mirip manusia, lengkap dengan lidah dan dada yang boleh menganjal jika diberi tekanan.
Selain itu, Laerdal juga memberi tumpuan kepada nilai astetika patung ini. Baginya, wajah patung ini perlu realistik tetapi tidak terlalu mengerikan. Memandangkan patung itu perlu “dicium” oleh pelatih CPR, Laerdal berpendapat wajah wanita adalah lebih sesuai digunakan. Agak-agak beliau pilih wajah siapa?
Ya! Wajah Inconnue de la Seine!
Sedikit perubahan pada wajah Inconnue perlu dilakukan agar boleh digunakan pada patung resusitasi ini kerana patung tersebut memerlukan mulut yang terbuka. Jadi senyuman manis Inconnue terpaksa dikorbankan. Selain itu, semua ciri Inconnue dikekalkan.
Pada tahun 1860, seiring dengan pengenalan teknik CPR kepada umum, patung resusitasi ini turut diperkenalkan. Kursus-kursus CPR mula diajar kepada petugas kesihatan, bomba, polis, tentera, malah di syarikat-syarikat dan sekolah-sekolah, termasuk kolej dan universiti.
Resusci Anne.
Itulah nama timangan yang diberi untuk patung latihan CPR ini. Ada mengatakan nama “Anne” berasal dari kependekkan “mannequin”, dan ada pula mendakwa ia diambil sempena nama Sungai Siene di mana mayat Inconnue dijumpai. Kini, dianggarkan seramai 400 juta orang pernah dilatih menggunakan patung Resusci Anne, dan salah seorang daripadanya adalah selebriti terkenal, Michael Jackson.
“Annie, are you OK? Are you OK, Annie?”
Serius. Menurut dokumentari “Bad 25” yang berkisar tentang album pembikinan album Bad, lirik korus lagu “Smooth Criminal” yang dinyanyikan oleh Raja Pop ini, merujuk kepada salah satu frasa yang diajar ketika latihan CPR.
Namun begitu, di Malaysia kita tak diajar frasa tersebut semasa kursus latihan CPR. Di sini kalau kita panggil Anne, nanti pelayan di kedai mamak yang menyahut. Kahkahkah!
Apapun, teknik asas kemahiran CPR perlu dipelajari setiap lapisan masyarakat. Jika berhadapan dengan situasi dimana jantung atau pernafasan terhenti, prosedur ini boleh menyelamatkan nyawa!
Pemegang sijil penyertaan kursus CPR
Nota: Update terkini garis panduan CPR untuk orang awam menyatakan, tak payah buat prosedur comolot. Kau teruskan je tekanan dada. Ingat! Tak payah comolot, walaupun kau tengah CPR Neelofa.
HimpunanCeritaLawak tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri