Kuala Lumpur: Sebelum ini, banyak kali kita diperdengarkan dengan janji manis indah tawaran bekerja sebagai pemetik buah di luar negara terutamanya di Australia dan New Zealand dengan gaji yang lumayan.
Maklum sahajalah, siapa yang tidak tergoda dengan angka pendapatan RM200,000 yang ditawarkan oleh 'iklan-iklan' tersebut.
Seorang kakitangan swasta yang mahu dikenali sebagai Siti, 32, menceritakan pengalammannya selama dua bulan di Melbourne, Australia kerana ingin mengubah nasih hidupnya dengan menerima tawaran tersebut.
Siti berkata, penyebab utama dia menggerakkan diri merantau ke negara itu semestinya kerana pendapatan lumayan yang dijanjikan di iklan di laman sosial.
Siti yang sebelum itu bekerja di sebuah syarikat dengan gaji hampir mencecah RM5,000 sebulan pada mulanya meletakkan jawatan selepas ibunya terpaksa memulakan rawatan dialisi dan dia sahaja yang belum berkahwin ketika itu.
Berikut adalah kisah Siti :
Berhenti Kerja Kerana Ibu
Mula-mula berhenti kerja, saya sangka mendapat sokongan adik-beradik lain kerana saya perlu membayar ansuran kereta serta pinjaman peribadi yang boleh dikatakan agak banyak jumlahnya setiap bulan.
Bagaimanapun, selepas hampir dua bulan menjaga ibu yang baru menyesuaikan diri dengan rawatan dialisis, saya dapati adik-beradik lain mempunyai tanggungan sendiri kerana masing-masing berkeluarga.
Dari situ timbul niat ke Australia memetik buah selepas membaca satu iklan di Facebook (FB) yang menawarkan gaji RM12,000 sebulan.
Bagaimanapun, mengenangkan keadaan ibu yang uzur saya hanya menyimpan niat itu di dalam hati, tanpa saya sedari, ibu saya sebenarnya tahu kesempitan dihadapi ketika itu.
Dapat Lampu Hijau Dari Ibu
Ibu saya memberikan cadangan supaya pergi ke sana memetik buah selepas mendengar cerita daripada kakitangan kakak saya mengenai suaminya yang dapat melangsaikan segala hutang dalam masa setahun selepas bekerja di sana.
Oleh kerana sudah mendapat ‘lampu hijau’ daripada ibu, saya mengeluarkan semua simpanan serta menjual motosikal kesayangan, malah meminjam daripada adik-beradik dan rakan untuk dijadikan modal.
Saya diperkenalkan dengan seorang ejen oleh rakan yang sudah ke sana, yang mengenalkan diri sebagai Mie dan dia menawarkan harga promosi RM1,500 kononnya sebagai kos menguruskan penginapan serta pengangkutan minggu pertama saya apabila tiba di sana nanti.
Memikirkan saya bergerak secara solo, saya mengambil keputusan menggunakan khidmat ejen itu dan meletakkan sepenuh kepercayaan kepadanya.
Berjaya Jejak Kaki ke Australia dengan modal hampir RM9,000
Jumlah keseluruhan dibelanjakan untuk ke sana, termasuk tiket kapal terbang dan upah ejen, hampir mencecah RM9,000 dan saya terbang ke Melbourne pertengahan Januari 2014.
Sebaik tiba di sana, ejen mengarahkan saya ke sebuah pekan kecil dikenali sebagai Robinvale dalam daerah Victoria berbekalkan satu nombor telefon yang dia sendiri tidak tahu siapa, tetapi mendakwa ia kontraktor yang akan memberikan saya kerja.
Selepas itu, saya tidak dapat menghubungi ejen itu dan di situlah bermulanya episod penipuan demi penipuan oleh beberapa individu yang rata-rata mendakwa sudah mendapat taraf penduduk tetap (PR) Australia.
Mula Bekerja Sebagai Pengutip Buah Namun...
Minggu pertama saya di sana, saya memetik anggur dan sepatutnya menerima bayaran A$450, namun, kontraktor hanya membayar A$150 atas alasan saya berhutang dengannya serta jumlah kotak anggur yang saya petik kurang daripada yang saya rekodkan.
Tidak berpuas hati dengan kontraktor terbabit, saya dan beberapa rakan yang ditipu berniat melarikan diri keesokannya untuk ke ladang lain, namun niat kami dihidu dan kami dihalau malam itu juga.
Selepas itu, kami berpindah ke sebuah lagi pekan dalam daerah Victoria iaitu Echuca untuk memetik tomato dan di sini, keadaan lebih baik berbanding sebelumnya kerana kami semua dapat berhubung terus dengan pemilik ladang.
Bagaimanapun, kontraktor menguruskan saya ketika itu sering bertengkar dengan pemilik ladang kerana kekurangan kerja dan itu mengakibatkan pendapatan kami terima tidak seperti yang diharapkan.
Kuatkan Semangat
Memikirkan hutang semakin menimbun di tanah air, saya kuatkan semangat, namun semakin lama saya semakin rasa tidak berbaloi terpaksa berjauhan dengan keluarga untuk bayaran yang sedikit.
Saya akhirnya mengambil keputusan menceritakan apa yang terjadi kepada ibu dan akhirnya ibu menyuruh saya pulang.
Berada di negara orang untuk bekerja tanpa permit sah membuat saya sentiasa berada dalam ketakutan, terutama apabila terserempak pihak berkuasa.
Nasihat Dari Siti
Cerita manis di FB dan juga blog menyatakan seminggu boleh meraih pendapatan A$1200 bukanlah tidak boleh dicapai, namun ia memerlukan masa sekurang-kurangnya setahun sebelum pekerja diberikan kepercayaan untuk dibayar dengan jumlah itu.
Namun, sanggupkah anda bekerja tanpa sebarang dokumen yang sah serta dihantar pulang ke tanah air tanpa hasil sekiranya ditangkap pihak berkuasa?
Saya ke sana bermodalkan hampir RM9,000, dan pulang ke tanah air dengan hasil sebanyak RM1,200. Saya kini menanggung hutang keliling pinggang, selain sukar mendapatkan kerja.
Sumber : Harian Metro
HimpunanCeritaLawak tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri