‘Jangan Jadi Macam Saya. Jangan Bagi Duit KWSP Pada Anak-anak’


Saya berjaga dan menulis untuk buku seterusnya, sesekali saya akan bangun menjenguk anak-anak di bilik mereka. Tenangnya tidur mereka, dan tenang juga hati saya sebagai bapa. Mungkin itulah kasih sayang bapa kepada anak-anaknya.

Bercakap mengenai kasih sayang bapa kepada anak, saya ada satu cerita.

Ia kisah sahabat saya yang menasihati saya agar tidak sesekali memberikan duit kwsp kepada anak-anak.

” izman, aku nak pesan kat kau benda ni, kau dengar baik-baik. Bila pencen nanti, kau keluar duit kwsp…. belanjakan semuanya, habiskan!”, katanya. Saya memandangnya sambil senyum kelat. Pada saya nasihat sebegini cuma boleh didengar, dipakai jangan.

“Aku cakap kau senyum ye izman, nanti kau kena macam pakcik aku baru kau tahu”, katanya lagi. Saya memintanya bercerita lanjut.

Katanya, ” pakcik aku tu ada 3 orang anak, seorang lelaki dan dua perempuan. Bila pencen keluar duit kwsp dekat rm200,000. Masa tu dua anak dah kahwin, yang bongsu masih sekolah menengah.”

” dah pencen, rumah dia tukar nama bagi nama anak lelaki sulung sebab dia ingat anak itulah akan bakar mayat dia nanti, dan jaga emak mereka jika dia mati”.

“duit kwsp tu dia ‘renovate’ rumah, ye lah rumah dah lama, dah habis bayar. lagipun semua anak masih tinggal dengan dia walaupun dah kahwin. dia buat satu tingkat lagi untuk tambah dua bilik dan satu bilik air”.

” anak pujuk tukar kereta sebab keretanya sudah uzur, dia tukar proton baharu, dia keluar deposit dan bayar bulan-bulan tapi buat nama anak. bila cucu nak masuk kolej, anak pujuk, dia keluar duit belanja, kau tahulah kolej swasta, yurannya mahal”.

“anak cakap, duit kwsp itu ada bahagian anak-anak. dia bodoh-bodoh percaya, dia beri seorang rm10,000. dapat duit, anak ‘modified’ kereta dan ada pergi melancong. dia dan isteri jaga rumah”.

“lepas tiga ke empat tahun, duit kwsp habis. anak menantu mula rasa tak selesa duduk bersama. dia dan isteri terpaksa keluar dari rumahnya sendiri. sewa rumah di taman sentosa. mau bayar sewa dan makan, dia jadi jaga kilang. malam jadi jaga, siang cari kotak untuk jual di kedai barang lusuh. lagi susah, anak yang bongsu tinggal dengan mereka, kena tanggung sekolah lagi.”

” anak yang dua ‘ekor’ tu, jangan kata hulur belanja, jenguk tanya khabar hidup matipun tak pernah. tapi bila tak ada duit, tahu pula cari ayah dia sampai sanggup bawa ayah ke bank untuk keluarkan duit. tak guna punya anak!”.

“jadi aku ingatkan kau, bila dapat duit kwsp tu, kau belanjalah untuk keperluan kau. kau dah susah berpuluh tahun kerja siang malam, duit tu untuk kau joli sebelum mati sebenarnya. pergilah bercuti luar negeri, belikan diri kau dan isteri benda yang mahal-mahal dan tukar kereta baharu.

“nak kahwin baharu pun boleh!. duit ratus ribu dalam poket, jangankan janda, anak dara bergetahpun sanggup jadi bini muda. hahaha.” ceritanya panjang lebar dan beremosi.

kali ini saya cuma dengar, dan mengakui kebenaran ceritanya. memang itulah yang terjadi saban tahun bagi pesara yang sudah keluarkan duit kwsp. dapat duit, bantu keluarga dan anak cucu. dan ada yang berjoli. dalam masa kurang lima tahun, mereka menjadi miskin semula dan terpaksa bekerja untuk menyara hidup sedang anak-anak terpaksa menyara keluarga mereka masing-masing.

duit pencen kwsp beratus ribu nampak banyak, tetapi bila dapat secara tiba-tiba akan menjadikan seseorang gelap mata, hilang pertimbangan dan boros. mereka lupa bahawa bukit yang tinggi jika setiap hari ditarah akan rata juga.

sahabat saya itu jelas tekad dengan niatnya untuk menggunakan bagi dirinya sendiri untuk elak dia yang menjadi papa kedana dengan membantu anak-anak. biarlah, hak dia. dia yang mengumpul duit itu dengan bekerja siang dan malam.

mengenai duit kwsp saya nanti, sudah pasti ada bahagian untuk pendidikan anak-anak. selebihnya saya sudah berniat untuk melancong ke kota romantik paris. ya, sudah tentu saya akan ke mekah untuk haji.

jika puan hajjah lebih selesa bermain dengan cucu nanti, saya pula akan berusaha tunaikan impian saya sejak sekolah menengah iaitu melancong seluruh dunia menaiki keretapi.

usai semuanya, legalah hati saya. rutin saya nanti tentulah setiap pagi minum teh tarik di kedai kopi sambil menonton wresling. petang pula saya akan meronda kampung bersama hajjah isteri untuk bertanya khabar anak kariah. malam pula akan menadah kitab di surau.

cukuplah duit kwsp yang berbaki dan duit elaun ketua kampung untuk saya belanjakan sementara menunggu di jemput ke daerah abadi.

Sumber : Izman Pauzi

0 comment... add one now

HimpunanCeritaLawak tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri